27 .2.2022
Orang berbudi kita berbahasa
Agak lama betul tak terima buah tangan berupa bunga telur tradisional masyarakat melayu, iaitu buah tangan tanda terima kasih dari keluarga pengantin kepada tetamu yang menghadiri majlis pernikahan anak mereka.
Hari ini saya telah menghadiri majlis meraikan pernikahan anak rakan sekerja . Terus nostalgia bila hendak melangkah keluar dewan, sebiji bunga telur tradisional telah dihulur kepada saya sebagai tanda terima kasih daripada tuan rumah majlis.
Teringat satu ketika dulu, pada tahun 1970an sehingga lewat 1980an, bila menghadiri majlis kahwin anak sahabat handal / saudara mara, buah tangan atau istilah terkini iaitu ‘door gift’ berupa sebiji telur rebus yang dibalut rapi samada dalam sehelai sapu tangan, kertas ‘serviette’ dan ada kalanya balutan bunga telur di gantung pada sebatang lidi dan diselitkan sekuntum bunga kertas bagi menambahkan seri buah tangan tersebut. Bunga telur macam ni dah hampir pupus tetapi untuk majlis merinjis pengantin , masih diletak jambangan bunga telur dikiri kanan pelamin untuk dihulurkan kepada tetamu yang dijemput untuk melakukan majlis merinjis pasangan pengantin.
Pada masa kini, istilah ‘bunga telur’ masih diguna oleh sebahagian lapisan masyarakat melayu. Yang moden sedikit menguna istilah ‘door gift’ . Tetapi bukan lah telur rebus tetapi pelbagai jenis cenderamata. Tuala tangan, biskut, kuih bakar bahulu, kekacang, sabun, kipas tangan adalah antara cenderamata /buah tangan yang disediakan untuk tetamu dan disi dalam bekas yang juga pelbagai jenis. Sehinggakan ianya menjadi satu perniagaan yang sangat lumayan. Ada kedai khas yang tumbuh bagai cendawan bagi memenuhi permintaan orang ramai. Dan sebenarnya bukan lah murah setiap kali sesuatu majlis perkhawinan melayu. Satu perbelanjaan yang besar juga.
Biar mati anak jangan mati adat. Orang berbudi kita berbahasa.
Tak tahulah pada masa akan datang nanti. Akan ada kah lagi bunga telur atau door gift. Mungkinkah akan berlaku evolusi adat kearah kesederhanaan/ simplicity dimana pemberian bunga telur/ door gift sudah tidak perlu lagi. Adakah mungkin?
Adakah mungkin konsep majlis resepsi juga akan berubah? Kalau selama ini jumlah jemputan begitu ramai sekali akan berubah ke majlis tertutup yang hanya melibatkan ahli keluarga terdekat sahaja.
Hanya masa akan menentukan. Wallahualalam.
No comments:
Post a Comment