27.8.2021
Paranoid . ( Bahagian 1)
Takut tidak bertempat? Was-was? Bimbang dengan ketidak ketentuan keadaan? Entahlah….
Yang diketahui anak saya yang dijangkiti virus ni bermula seawal hari Jumaat 31 hb Julai 2021, ketika dia balik dari kerja. Hari ini 27.8.201 genap lah 24 hari dia dijangkiti kuman virus tersebut. Dia masih disahkan positif.
Sudah menjadi amalan harian, setiap kali dia balik dari kerja, dia terus ke bilik, terus ke bilik tidur nya untuk membersihkan dirinya dan merehatkan diri. Jarang sekali kami berseliseh kerana dia hanya turun untuk makan lewat malam . Itu adalah amalan yang dilakukan sepanjang pandemic ni.
Sehari dua sebelum jangkitan,, saya sudah tidak senang mendengar batuknya yang agak bertalu talu bersertakan selsemanya yang mula nampak teruk. Selalunya anak yang bongsu ni, kalau bangun pagi mesti selsema. Katanya tak tahan sejuk air con biliknya. Disebabkan alahan kepada suhu yang rendah, dia jarang memasang air con melainkan keadaan cuaca agak panas keterlaluan. Ayah dia menyapa dia dua hari sebelum itu. Mungkin keadaan bilik kamar tak berapa bersih, berhabuk katanya. Dia pesan anak untuk bersihkan bilik . Ya kata anak, lalu dibersihkan seperti diarahkan ayahnya.
Malam 30Julai 2021, dia pulang dari kerja, dalam jam 8 malam dia mendapat pesanan teks dari majikannya, memberitahu dua orang daripada anak muridnya yang menghadiri kelas dan juga dibawah jagaannya telah disahkan positif covid.
Beberapa minit kemudian saya menerima teks daripada anak. Tak terucap tak ter kata sebaik sahaja mendapat mesej tersebut. Tenang tetapi hati mula gelisah . Ya Allah, dalam berhati hati berSOP , terkena juga ya Allah.
Hampir setahun lebih kami tiga beranak berjaga-jaga , akur dengan SOP yang ditetapkan. Keluar rumah bila perlu. Balik, terus ke kamar mandi, bersihkan diri, tukar pakaian . Itu lah amalan kami tiga beranak.
Tetapi siapa lah kami. Kami hanyalah hamba Allah. Ujian Allah swt tetap diturunkan kepada yang terpilih!
Sebaik sahaja mendapat berita pada malam itu, terus kami mengarahkan anak untuk memulakan kuarantin kendiri didalam kamar tidur. Kami membuat andaian mungkin anak juga terkena tempias virus dari anak muridnya. Tiada lagi physical contact dengan kami berdua. Terus kami mengatur langkah yang perlu kami jalankan demi mengawal virus tersebut daripada merebak kepada kami berdua. Pada ketika itu suami telah pun selesai kedua dua suntik vaksin. Sementara saya pulak suntikan kedua adalah pada 12.8.2021. Dan kami berdua ni warga emas yang masing masing mempunyai sejarah kesihatan yang melayakkan kami berada didalam kategori berisiko tinggi!
Keesokkan harinya 31.7.2021, kami berconference dengan anak anak secara maya.Yang sulung di Singapura, yang kedua di Dengkil dan yang seorang lagi di Cardiff.
Masing masing memberikan pendapat tentang langkah terbaik yang perlu diambil sekiranya adik bongsu dijangkiti kuman tersebut. Kerisauan abang abang dan kakak tentang keadaan adik dan jugak mak ayah jelas dimaklumkan.
Sebaik sahaja selepas itu,kami telah mula membuat persiapan awal. Terima kasih kepada menantu yang begitu cekap bertindak membelikan kelengkapan untuk memulakan kuarantin kendiri. Alat untuk mengukur tahap oksigen (oximeter), Pressure meter, ubat batuk , ubat selsema , self test kit dan lain lain keperluan yang difikirkan perlu di hantar dengan pantas kerumah.
Anak dan saya menjalankan ujian kendiri dengan self test kit yang dibekalkan menantu. Hasilnya negative. Walaupun negative, anak tidak dibenarkan keluar dari kamar tidurnya.
Pada malam itu, kami dapat dengar batuknya yang bertalu talu. Kami tak mampu untuk berbuat apa apa ,Cumanya segala keperluan diletakkan diluar pintu kamar tidurnya. Kami berdua terus memasang mask ( double masking) setiap kali kami berdua keluar dari kamar kami. Suami memesan kepada saya agar berada didalam kamar tidur. Biarlah dia yang menguruskan sebab dia berpendapat suntikan vaksinnya yang lengkap Insha Allah akan dapat memberikan perlindungan yang lebih daripada saya yang hanya baru selesai dos yang pertama.
Walaupun demikian, beliau tidak take any chances. Double masking, memakai sarung tangan semasa membersihkan semua peralatan yang telah diguna oleh anak dan sebagainya. Pinggan mangkuk anak diasing dan direndam dalam cairan Dettol sebelum dicuci dan diasingkan.
Pada masa yang sama, mesin vakum yang telah kami beli lebih dua tahun yang lalu telah di pasang diluar kamar anak. Vacuum ini mampu diubah suai untuk menjadi mesin sanitizer. Pada waktu yang berkala, suami akan pasang mesin tersebut, dan ruang udara diluar bilik disanitize. Bimbangnya ketika pintu kamar tidur dibuka, udara dari kamar anak akan meresap keluar mencemari ruang diluar biliknya yang sebenarnya bertentangan dengan bilik kamar kami.Itu lah amalan harian kami.
Ujian di ulangi semula pada hari Ahad 1.8.2021. Kali ini anak disahkan positif.
Sekali lagi anak anak berkumpul. Anak anak berpendapat agar adik mereka tidak terus dikuarantin dirumah. Pada ketika itu, jumlah kes diperingkat negara sangatlah tinggi. Di beritakan di dalam media bahawa, pihak hospital menghadapi masalah kekurangan katil. Disarankan pesakit ditahap 1 dan 2 kuarantin kendiri dirumah. Sekiranya berlaku gejala yang lebih serius seperti sesak nafas, baru lah dibawa ke bahagian kecemasan hospital. Memang lah sangat difahami kebimbangan anak anak kerana tiada yang dapat membantu secara hands on kerana adanya peraturan menghalang pergerakan merentasi daerah dan negeri. Anak anak berpendapat agar adik mereka di tempatkan di salah sebuah pusat rawatan swasta di ibu negara. Sebuah hotel yang telah diubahsuai dengan kemudahan kuarantin bagi pesakit di tahap satu dan dua.
Kami telah menghubungi pihak hotel untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Dalam masa yang sama, ujian PCR untuk kami tiga beranak diambil melalui lawatan ke rumah oleh pasukan perubatan swasta.
Pada 3 hb Ogos, kami berdua disahkan negative dan anak positif. Keputusan direkod oleh pihak kesihatan ke dalam peranti My Sejahtera dan pemantauan oleh pihak KKM dimulakan terhadap kami bertiga.
Keputusan untuk menempatkan anak dipusat rawatan swasta tidak disambut dengan baik oleh anak kami kerana anak berpendapat dia lebih selesa di rumah . Semua peralatan untuk memantau parameter yang penting seperti paras oksigen, suhu badan, tekanan darah dan juga tong gas bergerak alih telah disediakan .
Anak berpendapat dua hari yang mana tahapnya pada peringkat kritikal adalah pada 1 dan 2 hb Ogos 2021. Melepasi tarikh tersebut dia berpendapat bahawa keadaan badan nya telah melepasi tahap kritikal. . Hanya 2 atau 3 kali sahaja paras oksigen menurun dan telah dapat distabilkan dengan menyedut udara oksigen pada tong gas yang dibekalkan. Suhu badan dan tekanan darah pada paras yang stabil. Hanya batuk sahaja yang masih belum selesai.
Kami dengan berat hati menerima keputusannya. Walaupun demikian, kami berdua dalam keadaan bersedia sekiranya keadaan berubah kami bersedia untuk bawa anak terus kebahagian kecemasan.
Di peringkat KKM, jangkitan penyakit ini telah diketagorikan kepada 5 tahap berdasarkan jenis gejala yang dialami oleh pesakit. Dan pada pendapat kami, kemungkinan anak diantara kategori 2 – 3. Belum lagi ada gejala sesak nafas. Cuma batuk yang berterusan dan demam selsema.
Bacaan parameter di ambil dan dilaporkan kepada kami dari semasa ke semasa. Paras oksigennya ada sekali dua turun pada nilai 89% pada keadaan berbaring. Nilainya terus meningkat apabila dia mula berdiri. Dalam hal ini, anak telah cepat bertindak dengan menyedut gas oksgen menggunakan tabung gas yang dibekalkan.
Catatan anak membuat lapuran seperti berikut:
1.Beberapa hari yang pertama:
Batuk kering yang teruk ( bad dry cough), selsema dan sakit tekak.
2.Hari ke 3:
Demam, kesukaran bernafas pada waktu malam ketika tidur. Pening kepala, keletihan yang teramat .
3.Hari ke 4 dan ke5.
Hilang deria rasa dan bau . Sesekali rasa dada ketat.
4.Hari ke 14
Gatal gatal seluruh badan
Cirit birit, tiada selera makan, loya
Sehingga 24 Ogos 2021, anak telah menjalani 5 kali ujian
3.7.2021 : self test kit negative
1.8.2121 : self test kit positive
3.8. 2021 ujian PCR swasta – positive
13.8. ujian PCR di klinik positive
23.8.2021 ujian PCR di klinik positive.
Kerisauan kami terhadap kesihatan anak berterusan. Walaupun pada zahirnya, anak dilihat sudah beransur pulih, tetapi tidak diketahui tentang kesan jangkitan terhadap paru-paru. Kami berdua berpendapat walaupun rawatan self kuarantin dirumah, perlu lah juga merujuk kepada pihak yang arif tentang keadaan kesihatan anak.
Kami telah cuba menghubungi pusat bantuan khidmat nasihat . Setelah beberapa kali akhirnya kami telah dapat bercakap dengan bahagian CAC ( Covid Assesment Center) untuk mendapatkan khidmat nasihat tentang tindakan selanjutnya yang perlu kami lakukan.Nasihat yang diterima adalah untuk merujuk klinik kesihatan yang terdekat. Tapi kami terlepas satu soalan iaitu adakah perlu membawa sekali pesakit.
Pada pagi 2 hb Ogos, kami cuba hubungi klinik kesihatan tetapi setelah berkali kali mencuba tidak disambut panggilan, kami membuat keputusan untuk terus ke klinik . Alangkah terkejutnya suami apabila dia dapati dia sedang berdepan dengan lebih kurang 200 pesakit positif covid.Tidak ada papan tanda atau pun guard bertugas untuk memaklumkan bahawa dia sedang memasuki zon pesakit .
Sebaik sahaja suami balik ke kereta , terus disanitize satu badannya dan juga dalaman kereta. Dia tidak berkata apa apa setibanya dirumah, terus memasuki kamar mandi membersihkan diri. Segala pakaian terus direndam dalam cairan detol dan selanjutnya terus dimasukkan kedalam washing machine. Satu episode yang mencemaskan sebab kami ketidak ketahuan kesan yang bakal dihadapi oleh kami berdua!
Sebenarnya banyak yang tidak diketahui tentang virus yang baharu 2 tahun umurnya ini. Aktiviti mutasi pada varian asal terus berlaku. Maka wujudlah varian baru yang semakin seriusnya kesannya terhadap manusia.
Mengikut catatan di My Sejahtera, pada bermula 3 Ogos sehingga 17 Ogos kami berdua disahkan dalam kategori contact casual,. Sebaik saja lengkap kurantin yang pertama, iaitu pada 19 Ogos 2021, status kami berdua terus bertukar ke ‘berisiko rendah’
Kami dapati bahawa pemantauan di apps My Sejahtera terhadap kami berdua tidak lagi berlaku selepas 19 Ogos 2021, walaupun anak masih disahkan positif melalui ujian PCR pada 23 Ogos 2021.
Jadi persoalan yang timbul ialah, perlukah kami berulang kali mengambil ujian PCR setiap kali keputusannya positif? Adakah memadai dengan satu ujian PCR sahaja?
Oleh kerana kebimbangan kami terhadap keputusan ujian yang masih kekal positive ini, saya telah berusaha untuk menghubungi dan bercakap dengan pihak kesihatan. Panggilan ke Pejabat Kesihatan Daerah telah di buat pada 25 Ogos 2021. Puan doctor yang menjawab panggilan telah memberikan nasihat tentang langkah yang perlu diambil. Dinasihatkan ke Klinik Kesihatan Kesihatan untuk pemeriksaan .
Saya cuba untuk menghubungi Klinik Kesihatan untuk menanyakan procedure serta waktu yang sesuai untuk membawa anak saya bagi membuat pemeriksaan.. Malangnya panggilan tidak disambut. Maka saya berhubung sekali dengan Pejabat Kesihatan Daerah dan kali ini saya dimaklumkan bahawa apabila seseorang itu dijangkiti kuman virus ini, selepas 10 hari hari ( walaupun ujian PCR masih positif seperti pada anak saya) kuman virus ini masih kekal dalam badan dan keberangkalian ianya dapat dipindahkan kepada orang disekitarnya adalah sangat rendah. Kuman ini boleh berada didalam badan bekas pesakit boleh sampai 3 bulan. Ini bermakna pesakit dilindungi dari jangkitan dalam tempuh tersebut.
Jadi kesimpulan yang diperoleh adalah selepas 14 hari jangkitan tak perlu lagi membuat swab test ! Walaupun masih positive, ianya tidak memberi apa apa implikasi ! Ini bermakna, swab test pada 13 Ogos dan 24 Ogos 2021 tu dah tak perlu dibuat!
Tapi, walaupun anak dilihat sudah beransur baik, dia masih batuk batuk. Walaupun tidak dalam keadaan seperti 20 hari yang lalu, adakah patut kami bimbang melalui batuknya , serpihan kuman masih boleh disebarkan ke dalam udara. Tidak kah kami berdua patut masih bimbang bahawa kemungkinan serpihan kuman diudara dapat dipindahkan kepada kami?
Itu lah dilemma kami berdua. How safe are we? Paranoid kah kami?
No comments:
Post a Comment